Si kecil juara di bumi Thai

Ayam serama peliharaan Mazuki telah membawanya bertemu puteri sulung raja Thailand, Ubol Ratana yang tertarik dengan kehebatan ayam serama beliau.
Sepanjang perjalanan perasaan gementar terus-menerus bersarang di dalam hatinya. Sesekali dia menoleh ke bahagian belakang van bagi memastikan tujuh ekor ayam serama yang akan dipertandingkan berada dalam keadaan selamat.



Sebaik tiba di tapak pertandingan, Mazuki Mat Zin, 46, begitu berhati-hati mengeluarkan ayam serama peliharaannya. Ini bagi mengelakkan ayam bersaiz kecil itu mengalami sebarang kecederaan yang boleh menyebabkan mereka tidak layak menyertai pertandingan.

Perasaan gemuruh dan gementar yang dirasai Marzuki semakin kuat apabila pertandingan bermula. Kelihatan lebih daripada 10 ekor ayam serama jantan dipertandingkan dalam setiap kategori (anak A, anak B, remaja, muda, bapa A, bapa B dan induk). Masing-masing memiliki kecantikan, gaya dan keunikan yang tersendiri.

"Persaingan cukup sengit kerana setiap jenis ayam serama yang dipertandingkan terdapat dalam pelbagai warna dan perwatakan yang istimewa. Namun, saya berasa gembira dan bersyukur kerana berjaya menggondol tempat pertama dalam enam kategori," kata Mazuki yang menyertai Pertandingan Haiwan Terbuka Thailand 2004. Dalam pertandingan tersebut, tujuh ekor ayam serama Mazuki terlibat. Daripada tujuh kategori yang dipertandingkan, Mazuki memenangi enam kategori.

Pertandingan yang diadakan di Thailand itu terbuka kepada semua tetapi hanya peserta dari Kelantan dan Thailand saja yang menyertainya. Mazuki, yang sebelum ini pernah menjuarai tempat pertama dalam pertandingan ayam serama, buat kesekian kalinya bertuah apabila ayam serama yang dipertandingkannya dinobatkan sebagai juara.

"Mungkin rezeki dan nasib menyebelahi saya apabila ayam serama saya dinobatkan sebagai juara," ujar bapa kepada enam anak itu mengimbas memori manis bersama ayam serama peliharaannya.

"Berbekalkan pengalaman selama dua dekad bergelumang dengan ayam serama telah mematangkan saya untuk melatih dan 'melahirkan' ayam serama yang terbaik.

Walaupun peserta Thailand membeli ayam serama di Kelantan, tetapi mereka tidak memiliki kepakaran menjaga ayam serama seperti kita," jelasnya seekor ayam serama boleh mencecah hingga RM80,000.

Menurut Mazuki, ayam serama ternakannya berjaya menambat hati juri kerana bijak memperaga diri, berdada tegap, cantik, jinak dan sihat. Menariknya, selepas beberapa jam bergelar juara salah seekor ayam seramanya telah dibeli oleh seorang warga Thailand pada harga RM1,500.

MAZUKI mahir mengendalikan ayam serama peliharaan beliau.

Lebih membanggakan, seminggu selepas pertandingan tersebut Mazuki dipanggil menghadap puteri sulung Raja Thailand, Ubol Ratana. Baginda begitu kagum dengan kecantikan ayam serama dari Malaysia.

"Pada pertemuan tersebut, Puteri Ubol Ratana meluangkan masa sekitar 15 minit dengan memegang dan mengusap enam ekor ayam serama saya yang bergelar juara.

"Baginda memuji kecantikan bulu dan lawi (terdapat di ekor ayam jantan) yang menegak dan melentik ke belakang di penghujungnya. Tangannya tidak henti-henti membelai ayam saya yang jinak dan manja," ujar Mazuki ketika ditemui Kosmo! di ladang mini ternakan ayam serama, Serama Corporation Sdn. Bhd., Ampang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, penduduk Thailand terpaksa mengurangkan aktiviti membela dan membeli ayam serama kerana bimbang penyakit selesema burung. Begitu juga dengan masyarakat Indonesia yang bimbang mendekati ayam yang beratnya kurang daripada 500 gram itu. Ketinggian ayam serama menyamai air kotak dengan isipadu 300 mililiter (ml).

Mazuki yang kini memiliki hampir 100 ekor ayam serama mula mencintai spesies itu ketika dia berusia 26 tahun. Dibesarkan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Mazuki menjelaskan, rata-rata penduduknya begitu obses pada haiwan tersebut.

Bolehkan ayam serama dimakan? "Ayam serama boleh dimakan, dagingnya sama seperti ayam kampung cuma ia tidak liat," katanya yang seronok membela ayam serama kerana haiwan tersebut mudah dikawal.

Jelas Mazuki, ayam serama jantan mempunyai lawi yang menegak di hujung ekor dan balung berwarna merah, manakala ayam betina tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Ayam serama mula bertelur apabila usianya mencecah sembilan bulan. Ia mengeluarkan telur sehari satu biji. Lazimnya, induknya mampu bertelur sebanyak enam biji. Saiz telurnya besar sedikit daripada telur puyuh.

"Telur ayam serama akan menetas selepas 19 hari. Ancaman haiwan ini hanyalah musang dan anjing serta tidak boleh bunyi bising," ujarnya. Ayam yang boleh hidup antara tujuh hingga 15 tahun itu dibela untuk tujuan peliharaan dan bukan untuk dimakan. Bagi mengekalkan kecantikan bulunya, ayam ini perlu dibiarkan berenang dalam kolam selama dua minit untuk latihan kepaknya.

REBAN dua tingkat yang menggunakan kaedah ternakan moden.
Kemudian, ayam tersebut perlu dikeringkan sama ada dengan tuala, alat pengering atau mereka menjemur diri di bawah panas terik.

Jika dahulu ayam serama merupakan hiburan dan permainan di istana, kini ia menjadi salah satu haiwan peliharaan yang begitu popular terutamanya di negeri Kelantan dan Kedah.

"Orang di Kelantan dan Kedah khususnya, memang sukar dipisahkan dengan ayam serama. Boleh dikatakan, setiap minggu, setiap daerah atau pelosok kampung menganjurkan pertandingan ayam serama," ujar Mazuki yang turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan ayam serama yang diadakan di Johor, Terengganu dan Selangor.

Sementara itu, aktiviti membela ayam serama bukan sahaja diminati oleh golongan yang berusia, malah remaja. Pelakon dan model baru, Asry Azizan, 22, mula membela ayam serama ketika berusia 14 tahun.

Setiap petang, selepas mengulangkaji pelajaran, pelakon drama Obsesi itu akan memberi makan, suntikan vaksin dan vitamin serta melatih lima pasang ayam serama peliharaannya.

Latihan keras perlu dilakukan supaya ayam-ayam itu tidak berasa takut atau malu ketika berada di pentas pertandingan. Ayam serama bukan sekadar diajar supaya bijak beraksi lensa kamera, tetapi pada masa yang sama Asry juga melatih bagaimana melakukan aksi mendada yang tinggi.

"Ketika ia berjalan, saya mengeluarkan bunyi aneh supaya ayam berhenti. Bagi mencari punca bunyi itu, ia akan mendada.

"Dalam pertandingan lagi tinggi dada ayam serama maka lebih tinggi markah dikutip. Menariknya pertandingan ayam serama, ia tidak menyakitkan ayam kerana hanya menilai dari segi perwatakan, jenis, ekor melentik berbentuk V, kepak dalam posisi menegak dan badan tegap dan bulat.

"Tidak seperti pertandingan ayam biasa yang ditentukan pemenangnya menerusi hasil kekuatan melawan dan bersabung," jelas Asry yang pernah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Malaysian Bantam Beauty 2000 dan Pertandingan Kesenian Ayam Serama anjuran Litrak Kategori B (tempat kesembilan).

Ayam serama ikon Malaysia

Kalau disebut ayam serama, ramai yang beranggapan ia tidak lebih daripada aktiviti waktu senggang orang kampung. Malah, bisnes ayam serama tidak lebih daripada perniagaan kecil-kecilan yang tidak mendatangkan untung.

AHMAD FAUZI (tengah) mengadakan pameran terbuka ayam serama setiap hujung minggu.
Hakikatnya, pasaran dan minat meluas masyarakat Malaysia dan antarabangsa sebenarnya memberi keyakinan bagi Serama Corporation Sdn. Bhd., untuk memulakan bisnes haiwan itu.

Berlandaskan beberapa matlamat utama seperti mewujudkan sumber pendapatan baru dalam sektor penternakan, mereka juga ingin menjadikan penternakan ayam serama sebagai daya tarikan pelancong, sekali gus ingin mengangkat ayam ini sebagai ikon Malaysia.

“Saya percaya sekiranya diberi pendedahan, promosi dan diiktiraf sebagai ikon pasti ia boleh dijadikan salah satu tarikan utama pelancong. Jika inisiatif ini tidak dilakukan secepat mungkin, kebarangkalian negara luar terlebih dahulu mengiktiraf ayam serama adalah milik mereka.

“Ini berikutan seorang ahli perniagaan, J.Schexnayder telah mengimport beberapa ekor ayam serama ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2002. Bukan setakat membiak dan mempromosikan ayam serama, malah, beliau menubuhkan persatuan khas,” kata Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn. Bhd., Ahmad Fauzi Mohamed dalam nada kecewa ekoran beberapa pihak di luar negara (Indonesia dan AS) sedang mengacuk ayam jenis itu.

Sejak enam bulan kebelakangan ini, ayam serama kembali popular dan menjadi perhatian ramai setelah ia dilupakan sejak tahun 2003. Segalanya berpunca apabila orang ramai bimbang membela ayan serama kerana isu selesema burung.

Ahmad Fauzi menambah, Malaysia juga perlu mempunyai identiti haiwan tersendiri seperti China yang berbangga dengan beruang panda dan abalon, Thailand dengan kucing Siam dan kanggaru serta kaola yang terkenal di Australia.

Menyedari faktor tersebut Serama Corporation Sdn. Bhd., sedang berusaha membuka sebuah ladang seluas empat ekar di Ulu Yam, Selangor.

Ia bertujuan menternak lebih banyak ayam serama memandangkan ladang di Ampang dan Kelantan hanya mampu menempatkan 300 ekor ayam serama di satu tempat.

“Kami sedang berusaha menternak lebih banyak ayam serama kerana mendapat permintaan yang tinggi dari Jepun dan China. Stok untuk dihantar ke luar negara masih belum mencukupi kerana di Malaysia hanya terdapat lebih kurang 3,000 ekor saja,” jelas Fauzi.

sumber : Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!